Wednesday, January 21, 2009

Ikhlaskah bantuan Arab?


SIDANG Kemuncak Ekonomi Arab di Kuwait City kelmarin dibuka dengan suara kutukan keras negara-negara Arab terhadap pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza.
Serentak dengan itu juga, Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz ketika berucap membuka persidangan tersebut mengumumkan sumbangan berjumlah RM3.6 bilion bagi membangunkan semula Gaza yang hampir musnah dibedil oleh tentera Israel.
Selain kira-kira 1,300 nyawa penduduk Gaza menjadi korban, serangan selama 22 hari Israel itu juga menyebabkan kemusnahan infrastruktur berjumlah RM1.67 bilion.
Menyambut baik sumbangan daripada Raja Abdullah, pemimpin-pemimpin Liga Arab juga bersetuju untuk memberikan sumbangan berjumlah RM7.2 bilion bagi tujuan pemulihan dan pembangunan semula Gaza.
Tidak dinafikan sumbangan dunia Arab itu adalah satu jumlah yang besar dan sangat bermakna dalam konteks kemanusiaan dan pemulihan semula Gaza.
Namun keprihatinan itu juga tidak dapat mengelak daripada mencetuskan pertanyaan iaitu mengapa dunia Arab hanya berani bersuara selepas tercapainya gencatan senjata?
Dunia pastinya sangat memahami apabila pemimpin-pemimpin dunia Arab itu dalam nada penuh simpati menyatakan bahawa setitik darah rakyat Palestin lebih bernilai daripada semua kekayaan di dunia ini.
Tetapi apa yang yang dikesalkan ialah mengapa mereka lebih berminat menabur wang ringgit selepas tiada lagi seinci tanah di bumi Gaza yang terkecuali daripada sisa-sisa bedilan mortar, peluru dan bom tentera Zionis?
Mengapa dunia Arab dengan kuasa yang jauh lebih hebat berbanding Israel tidak melindungi rakyat Palestin yang seagama dan sebangsa seandainya benar setitik darah Palestin seperti yang digambarkan itu?
Justeru bukanlah sesuatu yang melampau untuk menyimpulkan bahawa sumbangan itu sebenarnya tidak lebih daripada percubaan untuk menutup kelemahan negara Arab dalam membela rakyat Gaza.
Hakikatnya, jumlah sumbangan yang besar itu tidak dapat menutup pekung sebenar dunia Arab yang gagal menentukan sikap dan pendirian tegas terhadap Israel ketika serangan biadap ke atas Palestin.
Malah, biar sebanyak mana sekali pun sumbangan berjaya dikumpulkan, ia tidak akan sekali-kali membersihkan imej dan maruah dunia Arab khususnya yang berjiran dengan Gaza.
Masyarakat Islam pastinya tidak akan lupa pendirian negara-negara Arab seperti Mesir yang tergamak menutup pintu sempadan di Rafah yang menjadi satu-satunya saluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Masyarakat juga tidak sesekali akan melupakan tindakan Mesir yang enggan mengizinkan penduduk Gaza yang cedera dibawa masuk untuk rawatan kecemasan kecuali pada waktu yang sangat terbatas.
Seandainya benar dunia Arab begitu simpati, mengapa tiada suara desakan atau kutukan terhadap Mesir di atas tindakan yang tidak menggambarkan rasa simpati tersebut?
Seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, dunia Arab sepatutnya menggunakan kekuatan ekonomi untuk membantu Palestin dengan menghalang serangan tentera Israel.
Dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki, dunia Arab mempunyai kemampuan membela dan mempertahankan rakyat Palestin, tetapi malangnya memilih untuk tunduk kepada tekanan Israel dan AS dan membiarkan rakyat Palestin menderita sejak 60 tahun sejarah krisis Asia Barat.
Sikap dan pendirian yang tidak pernah meletakkan pembelaan kepada rakyat Palestin sebagai agenda utama dasar luar dunia Arab itu juga semakin terserlah daripada episod serangan yang memilukan lalu.
''Dunia Arab menyangka dengan bantuan kewangan itu, mereka dapat membeli rasa hormat rakyat Gaza dan umat Islam keseluruhannya.
''Namun, apa yang mungkin tidak sedari ialah, tindakan mereka itu lebih memperlihatkan sikap hipokrit yang tidak dapat dimaafkan oleh umat Islam," katanya.
Sesuatu yang juga seharusnya disedari oleh pemimpin dunia Arab ialah peranan sebenar mereka dalam penyelesaian jangka masa panjang konflik Palestin dan Israel.
Sebahagian daripada bantuan kewangan itu mungkin dapat membina semula rumah, sekolah, masjid, hospital dan kemudahan awam yang musnah.
Tetapi, ia sekali-kali tidak merubah status quo atau pengembalian kepada keadaan yang sedia ada.
Justeru tambah Hafidzi, pembinaan semula Gaza tidak membawa sebarang makna apabila wilayah itu terus dikepung dan terdedah kepada serangan biadap Israel yang boleh dilancarkan pada bila-bila masa.
Sekiranya dunia Arab benar-benar ikhlas dalam membantu rakyat Palestin, mereka seharusnya menggunakan kekuatan ekonomi itu untuk mendesak Israel membuka kepungan ke atas Gaza dan membenarkan kemasukan bantuan dari seluruh dunia.
Lebih jauh Hafidzi turut menekankan, betapa dunia Arab dalam kesungguhan mereka membantu rakyat Palestin mencari upaya mengheret Israel untuk diadili di mahkamah antarabangsa kerana jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan.
''Malah, negara-negara Arab juga sewajarnya mendesak Israel dan AS bertanggungjawab ke atas kemusnahan Palestin dengan menanggung semua kos pembinaan semula Gaza," katanya.
Sesuatu yang menjadi persoalan daripada bantuan yang disalurkan itu juga ialah, sejauh mana ia benar-benar dapat membantu membangunkan semula bandar Gaza?
Perlu untuk difahami bahawa bantuan kewangan itu seharusnya disalurkan secara langsung kepada sebuah kerajaan yang sah.
Dalam keadaan ini, dunia Arab pastinya tidak akan berurusan dengan Hamas yang berkuasa di Gaza kerana ingin menjaga kepentingan mereka dengan AS yang melihat Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Justeru pilihan yang ada hanyalah menyalurkan bantuan kepada pihak berkuasa di Tebing Barat yang dikuasai Fatah.
Ketika Fatah sendiri melihat Hamas sebagai musuh yang perlu diperangi, kedudukan bantuan kewangan untuk penduduk Gaza itu pastinya sudah dapat dijangkakan.
Seperti yang dijelaskan Hafidzi, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk Fatah menggunakan bantuan kewangan itu untuk melaksanakan projek yang hanya memberikan keuntungan kepada penyokong-penyokong mereka di Tebing Barat semata-mata.
Malah tambah beliau, sekiranya sejarah dijadikan ukuran, pemimpin-pemimpin serta kakitangan Fatah mempunyai rekod dalam penyalahgunaan kuasa dan dana awam.
''Buktinya ketika kerajaan Hamas mengambil alih pemerintahan dari Fatah selepas memenangi pilihan raya legislatif pertama pada 2006, perbendaharaan negara ketika itu berada pada tahap negatif.
'Hamas juga berjaya membongkar kes-kes penyelewengan berdasarkan kepada dokumen-dokumen kerajaan," jelasnya.
Dalam mengupas mengenai perkembangan terkini di Asia Barat juga, sesuatu yang tidak boleh dilepas pandang ialah kedudukan sebenar persetujuan gencatan yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi resolusi 1860.
Gencatan senjata itu tidak boleh dianggap sah ketika tentera Zionis masih lagi berada di wilayah Gaza dan Hamas berhak mempertahankan wilayah mereka daripada diceroboh.
^,^

0 comments:

Related Posts with Thumbnails