Tuesday, April 24, 2012

Kisah Cinta Agung


Sudah beberapa zaman berlalu. Ketentuan dan takdir sudah berubah. Kisah fitnah terhadap Nabi Yusuf sudah mula dilupakan orang. Malahan, nabi yang kacak itu sudah diangkat  menjadi raja negeri.

Di satu daerah terpencil, seorang insan melalui sisa hidupnya dengan rasa kecewa dan jiwa lara. Telah punah hatinya oleh cinta yang  tak kesampaian, telah hancur kalbunya oleh rindu dan penasaran. Kini, dia telah kehilangan segalanya. Dia sudah miskin sementara kecantikannya pudar diganti kenyataan usia tua. Meski segalanya telah berubah, hanya satu yang tidak pernah lekang dari hatinya. Cinta dan kerinduan itu hanya buat Yusuf…Jadi,siapakah dia? Yang mendamba sebahagian dari usia untuk memuja Nabi yang tidak pernah endah padanya? Dialah Zulaikha, isteri Aziz yang sudah bergelar janda.

Menjelang sisa-sisa usia yang ada, ALLAH menitipkan hidayah buat wanita ini. Dia berpaling daripada berhala kerana iman. Dia tenggelam di dalam manisnya ibadah ketika bersendirian menghadap Tuhan. Tetapi di dalam pengaduannya itu, nama Yusuf tetap basah di bibir. Cinta apakah ini wahai Tuhan?
“ Ya Rabbi, tiada apa lagi yang tinggal buatku. Segala hartaku sudah habis luput, aku sudah tua, terhina dan miskin. Tetapi Engkau masih mengujiku dengan rasa cinta kepada Yusuf, nabi utusan-Mu. Jika Engkau mengasihi hambamu ini, pertemukan aku dengannya, jika tidak, hilangkanlah rasa cintaku pada Yusuf agar aku mendapat ketenangan,” rayu Zulaikha di dalam doanya. Perlahan-lahan air matanya mengalir membasahi pipi yang berkedut dimamah usia.

Munajat Siti Zulaikha itu meruntuh hati para malaikat yang mendengarnya. Ya! itulah wanita pemfitnah Nabi Yusuf satu masa dulu! Tetapi kini, dia sudah bertaubat. Dan dalam taubat itu, tiada siapa yang tahu ALLAH sudah mengatur rencananya sendiri.

Suatu hari yang diperkenankan Tuhan, Nabi Yusuf berjalan-jalan di sekitar negeri bersama para tenteranya. Ingin dia meninjau-ninjau rakyat bawahan dan masalah yang mungkin mereka hadapi. Seketika dia lalu di hadapan sebuah pondok buruk. Kebetulan, Zulaikha ada di muka pintu dan bermulalah pertemuan yang tidak disangka-sangka.

“ Maha Suci ALLAH yang menjadikan engkau seorang raja daripada hamba rakyat biasa,” ujar Siti Zulaikha. Gementar hatinya melihat Yusuf yang kini berdiri di hadapan mata.
“Siapakah engkau wahai perempuan tua?” Nabi Yusuf pula bertanya.
“Mungkin engkau sudah lupa. Akulah wanita yang membelimu dengan emas permata. Akulah wanita yang tidak pernah kenyang semenjak jatuh cinta padamu. Akulah wanita yang tidak dapat menutup mata sejak memandangmu. ..Adakah engkau masih ingat padaku?” soal Zulaikha.

Nabi Yusuf mengamati wajah wanita itu sedalamnya. Tidak mungkin..

“Adakah kau ini Siti Zulaikha? Jika benar, ke manakah perginya segala kebesaran, kecantikan dan kemewahanmu dulu?”tanya Nabi Yusuf hairan.
“Segalanya sudah hilang akibat cintaku padamu. Segalanya telah berubah, kecuali cintaku padamu yang semakin hari semakin kuat,” akui Siti Zulaikha. Dia menundukkan dirinya. Alangkah malunya dia..terpaksa berdepan dengan Nabi Yusuf yang masih muda belia..sedangkan dia hanya seorang perempuan tua.
“Jika boleh kutunaikan, apa permintaanmu Zulaikha?” tanya Nabi Yusuf yang merasa kasihan melihat Zulaikha.
“Aku menginginkan tiga perkara, kecantikanku dulu, harta dan perkahwinan.”
Nabi Yusuf terus berpaling ingin meninggalkan Zulaikha. Tidak mungkin dia dapat menunaikan hasrat Zulaikha yang tidak masuk diakal.

Perbuatan Nabi Yusuf itu mendapat teguran daripada ALLAH. 

Dan melalui Jibril, ALLAH mewahyukan agar Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha. Tapi bagaimana? Adakah Yusuf akan bahagia bersama Zulaikha yang sudah tua?
Tatkala itu, ALLAH menunjukkan kekuasaannya. Zulaikha dikurniakan paras yang muda dan lebih cantik dari dahulu. Kembalilah Siti Zulaikha menjadi wanita yang ayu dan memikat  cinta.
Dan kepada Yusuf pula, ALLAH membalikkan hatinya kepada cinta dan kasih sayang buat Zulaikha. Kali ini giliran buat Yusuf pula tercari-cari dan merayu cinta pada Zulaikha. 

Sehingga usai perkahwinan mereka, Nabi Yusuf dapat melihat perubahan diri  Zulaikha yang sudah menjadi isterinya. Zulaikha sentiasa tekun mengerjakan solat sehingga kadangkala terlupa keperluan Nabi Yusuf, suami yang dicintai sepenuh hati. Sehingga pernah Nabi Yusuf mengeluh kerana Zulaikha tidak melayan dirinya.

“Wahai Zulaikha, bukanlah dulu engkau yang mengoyakkan bajuku kerana inginkan diriku?” tanya Nabi Yusuf.
“ Wahai suamiku, aku kini bukanlah aku yang dahulu. Aku mencari cinta yang lebih utama dari cinta padamu. Aku mencari cinta Ilahi,” jawab Zulaikha sambil bangun untuk meneruskan solat.
Ketika itu juga, Nabi Yusuf menarik Zulaikha sehingga bajunya terkoyak sedikit.
Turunlah Jibril dan berkata, “ Wahai Yusuf, sudah tertulis, baju dibalas baju. Dengan ini, tidak ada lagi cercaan yang terjadi antara kau dan Zulaikha dahulu.”

Allahuakbar...Allah Maha Besar...segalanya milikNya. tidak akan ada mustahil jika Dia mengkehendakinya.
^,^

0 comments:

Related Posts with Thumbnails